Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Selasa, 29 Julai. - Menyentuh mengenai dunia nyata dan integrasi Kecerdasan Buatan (AI), peralihan tersebut seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan untuk membangunkan bilik darjah berteraskan teknologi dan berpusatkan pelajar.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD), penerimaan terhadap inovasi tidak bererti mengetepikan jati diri, malah berusaha membimbing kanak - kanak menjadi saintis cilik yang berpaksikan rasa ingin tahu, bijak dan yakin meneroka dunia global.
Perkara tersebut diketengahkan oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin semasa berucap pada Majlis Perasmian Simposium Sains Tahun 2025, bertempat di Dewan Mawaddah, Setia Point, di sini, pagi tadi.
Menurut Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati lagi, inisiatif Kementerian Pendidikan seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) - STEAM Guidebook 2021 menyokong sekolah rendah untuk mengamalkan pembelajaran berasaskan projek dan inquiry merentasi subjek STEAM, iaitu menggalakkan kreativiti dan penerokaan dalam sains.
Sementara itu tambahnya, Digital Citizenship Framework and Handbook yang dilancarkan semasa Konvensyen Pelajar Sekolah 2024, mengintegrasikan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dalam penggunaan teknologi secara selamat, bertanggungjawab dan kreatif di sekolah-sekolah.
"Kami turut mengakui wujudnya cabaran seperti kekangan sumber, kemahiran pedagogi yang terus berkembang serta keperluan integrasi AI yang beretika.
"Namun, Konsensus Beijing UNESCO 2019 yang disokong oleh lebih 50 menteri pendidikan, dengan jelas menyatakan bahawa AI harus memperkasa bukan menggantikan para pendidik," jelasnya lagi.
Selaras dengan itu katanya, AI Competency Frameworks UNESCO 2024 juga menjadi panduan kepada penggunaan AI dalam pendidikan secara beretika dan berpusatkan manusia dalam pengajaran dan pembelajaran.
"Maka itu, para guru kekal tidak dapat digantikan, malah kini dilengkapi dengan alat yang dapat memperluas kesan dan keberkesanan gaya pengajaran.
"Justeru segala usaha yang dilakukan hari ini membentuk generasi masa depan pelajar yang berakar pada budaya, yakin dalam pencarian ilmu, dan terinspirasi untuk berinovasi.
"Inilah warisan yang kita bina bersama," ujarnya lagi.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pengurusan Pendidik, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah, selaku Pengerusi Simposium dan disusuli dengan ucaptama bertajuk 'Little Scientists, Local Wisdom : Ethnoscience and STEAM for Brunei's Classrooms', yang disampaikan oleh Penolong Profesor dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Innovasi dan Kelestarian dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Roslinawati binti Mohd. Roslan.
Penceramah dalam ucaptamanya menekankan, peranan Guru Sains sekolah rendah sebagai pemacu rasa ingin tahu dan kesinambungan budaya serta pelaksanaan pendidikan STEAM yang berpandangan ke hadapan dan berteraskan nilai-nilai budaya tempatan, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara seperti Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) dan Wawasan Brunei 2035.
Konsep etnosains terangnya, iaitu tradisi tempatan, amalan komuniti dan kebijaksanaan pribumi, diketengahkan sebagai titik permulaan yang berkesan untuk pembelajaran STEAM.
Melalui strategi praktikal dan amalan bilik darjah jelasnya lagi, menggalakkan para guru untuk mengintegrasikan konteks NBD dalam pengajaran Sains agar lebih bermakna, menyeronokkan dan relevan.
Pada akhir ucaptama, para pendidik diberi inspirasi untuk membimbing 'saintis kecil' yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global, malah teguh jati dirinya serta berakar kukuh pada identiti tempatan.
Simposium yang dianjurkan oleh Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy - BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik tersebut dihadiri oleh seramai 230 peserta dan tetamu yang terdiri daripada Guru-guru Sains daripada semua sekolah rendah kerajaan.
Dengan tema 'Beyond the Classroom : Integrating Technology and Real-World Applications in Primary Science Education', simposium tersebut bertujuan untuk melangkaui peningkatan pengajaran berasaskan teknologi kepada transformasi pembelajaran yang autentik dan berteraskan amalan saintifik.
Selain itu, simposium tersebut diharap dapat memupuk ekosistem profesional yang bersifat kolaboratif bagi menyokong integrasi teknologi dan penerapan aplikasi dunia sebenar dalam pendidikan Sains sekolah rendah secara berkesan.
Sesi diakhiri dengan bengkel bertajuk 'Making Primary Science Relevant : Technology and Real-World Connections', yang dikendalikan oleh Pegawai Pendidikan Kanan, Sekolah Menengah Awang Semaun, Dr. Haji Sahrunizam bin Haji Kasah.
Manakala, sesi petang diteruskan dengan bengkel oleh Pegawai Pendidikan Kanan, Sekolah Rendah Dato Mohd. Yassin, Awang Harrisman Ashady bin Haji Ali bertajuk 'Integrating AI into Primary Science Teaching and Assessment : A Framework for Authentic, Aligned Learning', yang memperkenalkan satu kerangka kerja praktikal untuk pengintegrasian AI dalam pengajaran dan penilaian Sains sekolah rendah.
Simposium diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pemangku Ketua BDLTA, Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Ade Shahren bin Haji Suhaili.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta tenaga pengajar Kementerian Pendidikan.